Seminar Melayu Islam Beraja sempena ulangtahun ke 27 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
(sumber Pelita Brunei, Jabatan Penerangan)
Kertas Kerja Perdana Seminar Melayu Islam Beraja.
UBD, Tungku, Gadong, Rabu, 18 Mei 2011-
Melayu Islam Beraja (MIB) telah menjadi darah daging anak Brunei sejak wujudnya institusi Kesultanan Brunei Darussalam sejak 600 tahun.
Menurut Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, kemerdekaan negara merupakan sebuah proses pengambilan alih semula identiti sebagai orang Brunei.
Ini katanya, negara telah mengalami penurunan kenegaraannya pada abad ke-19 dengan kehilangan banyak wilayah-wilayah dan daerah-daerah.
"Maka cabaran yang sebenar semasa di ambang hari kemerdekaan kita itu dulu dan pada waktu-waktu awal-awal kemerdekaan negara ialah untuk mencorak dan membina semula identiti orang Brunei," jelas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat memberitahu hal itu dalam Kertas Kerja Perdana MIB yang berjudul 'Cara Hidup Masyarakat Brunei " di Seminar MIB sempena Sambutan MIB sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-27 di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam di sini.
Yang Berhormat menjelaskan, kemerdekaan yang sebenar bukanlah pengisytiharan semata-semata atau peralihan kuasa pentadbiran kuasa, tetapi kemerdekaan yang sebenar hanya tercapai apabila negara berjaya melepaskan diri daripada jajahan budaya yang menakluki sebuah negara dan isi kandungannya dengan mengikat corak pemikiran dengan rantai budaya asing.
"Apa yang harus diingati dan mesti dijelaskan, bukanlah kita membangkang gaya budaya orang asing semata-mata kerana ianya asing. Tetapi kita harus mempertahankan identiti diri kerana tanpa usaha pemeliharaan ini kita akan kehilangan jati diri dan tenggelam dalam lautan budaya buatan atau artificial culture, barang siapa yang menafikan asalnya, maka tiada asal baginya," tambah Yang Berhormat.
Orang Brunei, kata Yang Berhormat, adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam dan mempunyai sistem politil secara Beraja, Melayu kerana kita orang Melayu.
Adapun sistem Beraja , memang sebahagian daripada ciri-ciri kemelayuan, perlu disedari bahawa bukanlah dimaksudkan bahawa sistem Beraja itu akan menghasilkan kejayaan-kejayaan seperti apa yang telah tercapai di Negara Brunei Darussalam jika ianya dilaksanakan di negara-negara lain.
No comments:
Post a Comment